Keputusan Pemenang Anugerah Harta Intelek Negara 2016. Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) Universiti Putra Malaysia (UPM) Anugerah Harta Intelek Negara Iktiraf Pereka Cipta, Pencipta Terbaik Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kesedaran tentang kepentingan melindungi Harta Intelek (IP) di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila jumlah permohonan mendaftarkan Harta Intelek kian bertambah dari tahun ke tahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2015 baru-baru ini berkata, Harta Intelek perlu dilihat sebagai sumber kekayaan baru yang mampu menjana ekonomi pencipta produk berkenaan dan negara secara keseluruhannya. Ia penting dalam usaha memastikan negara kekal berdaya saing dengan hasil ciptaan yang mempunyai nilai komersial tinggi. Justeru Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah inisiatif yang terbaik bagi menggalakkan budaya inovasi sekali gus meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan Harta Intelek dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Bertemakan "Transformasi Negara Bangsa Melalui Pemerkasaan Harta Intelek", AHIN memberi penekanan kepada aspek pengurusan hak Harta Intelek yang cekap bagi menjamin perlindungan dan mengelakkan pengekspliotasian Harta Intelek. Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin dipetik berkata pemberian Anugerah Harta Intelek Negara merupakan satu daripada bentuk program peningkatan kefahaman Harta Intelek yang dijalankan oleh MyIPO secara bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan penyertaan pelbagai latar belakang organisasi, peringkat usia dan komponen Harta Intelek. Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail pula melihat bahawa Anugerah Harta Intelek Negara adalah satu daripada bentuk pengiktirafan Kerajaan terhadap semua sumbangan yang telah diberikan oleh organisasi, perekacipta dan pencipta dalam membangunkan teknologi, penyelidikan dan inovasi di dalam negara. Pengiktirafan ini berupaya meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan Harta Intelek dan menghormati hak Harta Intelek. Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Shamsiah Kamaruddin turut mengulas bahawa melalui penambahan kategori yang diperkenalkan pada tahun ini, ia memberi peluang kepada lebih ramai perekacipta untuk menyertai pertandingan ini dan seterusnya menggalakkan penghasilan inovasi. IKTIRAF PEREKA CIPTA, PENCIPTA TERBAIK AHIN yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 adalah anugerah yang berprestij untuk memberi pengiktirafan kepada pereka cipta atau pencipta atas sumbangan Harta Intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Terdapat tujuh kategori yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Paten, Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian, Hakcipta, pereka cipta Harta Intelek (pelajar Institusi Kemahiran atau setaraf) dan Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah). Pemenang hadiah utama kategori organisasi dinobatkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berjaya menewaskan enam finalis yang lain. Anugerah ini mengiktiraf MARDI sebagai sebuah organisasi yang mempunyai pengurusan Harta Intelek Terbaik bagi tahun 2015. Melalui kemenangan ini, MARDI membawa pulang wang tunai RM30,000, piala pusingan, piala iringan, Piala WIPO dan sijil penghargaan. Timbalan Ketua Pengarah 1 MARDI, Datuk Dr Azizan Ab. Rashid ketika ditemubual oleh BERNAMA berkata kemenangan ini merupakan satu penghargaan bermakna kepada MARDI dalam usaha memantapkan pengurusan Harta Intelek. Menurut Dr Azizan, MARDI mula berkecimpung dalam pelesenan hasil inovasi dan teknologi ciptaan mereka selepas berjaya menggubal akta pada 2002 kerana akta yang sedia ada memberi kekangan kepada proses pelesenan dan pengkomersialan inovasi dan teknologi yang dihasilkan oleh MARDI. "MARDI sebelum penggubalan akta telah mempunyai satu sistem pengurusan harta intelek yang lengkap dan apabila berjaya menggubal akta tersebut ianya telah memantapkan lagi pengurusan Harta Intelek di MARDI dengan tertubuhnya satu unit khas untuk menguruskan Harta Intelek iaitu melalui Unit Pembangunan Perniagaan," katanya. Selari dengan tekad menyemai budaya inovasi dalam kalangan warga MARDI dan menjadikan pembangunan Harta Intelek sebagai satu sumber kekayaan terbaharu negara, MARDI telah menyediakan insentif khas kepada pereka cipta sebanyak RM500 untuk setiap rekacipta sebagai galakan. Menceritakan lebih lanjut berkenaan pembudayaan Harta Intelek di MARDI, Dr Azizan berkata dalam tempoh dua tahun sahaja iaitu dari 2014 sehingga 2015 sebanyak 19 teknologi telah berjaya dilesenkan. Selain memenangi hadiah utama, MARDI juga memenangi pingat gangsa kategori paten bagi rekacipta "Method For Producing Purified Antibody For The Detection Of Salmonella". BAWA TUAH BUAT PEREKACIPTA MUDA Pokok Ketapang atau nama saintifiknya Terminalia catappa mungkin kelihatan biasa seperti kebanyakan pokok. Namun bagi pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Noor Syafiqah Diana Mohamad Ghazali, Muhammad Hazieq Hishamuddin dan Nur Hashimah Rozali mendapati pokok ketapang bukan sembarangan pokok kerana banyak khasiat yang terdapat dalam daun pokok ketapang. Terpilih sebagai finalis AHIN buat kali pertama telah membawa tuah kepada hasil ciptaan mereka kerana telah dinobat sebagai pemenang pingat emas kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah) dan pastinya kemenangan ini suatu pengiktirafan yang tidak dijangka-jangka. Menceritakan lebih lanjut mengenai hasil inovasi tersebut, guru pengiring Mohd Rosnizam Mohd Yusoff berkata idea mencipta inovasi tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap penggunaan daun pokok ketapang dalam ternakan ikan arowana. Setelah melakukan pelbagai kajian dan ujian makmal Mohd Rosnizam dan anak muridnya berjaya menghasilkan inovasi rawatan organik untuk kegunaan pertanian daripada khasiat daun pokok ketapang dalam tempoh kira-kira tiga bulan di bawah program membudayakan inovasi melalui koperasi sekolah. Inovasi tersebut terhasil dalam tiga bentuk iaitu serbuk, pita penanaman dan cecair sebagai rawatan organik untuk produk pertanian seperti ikan, ayam dan lembu. Hasil penggunaan bahan rawatan organik ini boleh menyembuhkan luka dan menyihatkan ternakan. Sementara itu, rawatan organik ini juga mampu menjadikan pokok lebih subur dan dapat mengelakkannya daripada terkena jangkitan serangga dan yang paling penting inovasi ini mesra alam dan selamat digunakan kerana bebas daripada bahan kimia. INOVASI ALAT PEMINTAL KELULI Bagi menggalakkan lagi penyertaan daripada perekacipta-perekacipta tempatan, pada tahun ini MyIPO memperkenalkan satu lagi kategori baharu iaitu Perekacipta Harta Intelek yang menyasarkan pelajar dari institut kemahiran dan setaraf. MyIPO telah mendapati kumpulan ini telah banyak menghasilkan pelbagai produk inovasi dan rekacipta yang berpotensi untuk dikomersialkan. Sebagai pemenang pingat perak bagi kategori yang baharu diwujudkan, pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi Batu Pahat (ADTEC) yang terdiri daripada Wan Mohammad Hazrul Wan Hussin, Muhamad Amin Shahidi dan Zulkarnaen Salleh menzahirkan rasa teruja dengan kemenangan ini yang disifatkan sebagai di luar jangkaan. Kemenangan ini membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan. Pensyarah penyelia Abdul Rahim Md Tahir ketika ditemui selepas majlis AHIN berkata Bar Spindle adalah inovasi alat pemintal keluli yang berupaya memintal kepingan keluli menggunakan tangan dengan cara yang mudah, cepat dan kos yang murah. Menurut beliau, mesin pemintal keluli yang dihasilkan daripada bahan besi terbuang ini digunakan dalam membuat dekorasi pada gerigi, buaian atau perabot berasaskan logam selain sesuai digunakan oleh pengusaha kraf tangan. "Inovasi ini mampu membantu pengusaha bengkel kecil-kecilan kerana biasanya harga sebuah mesin pemintal kepingan logam boleh mencecah RM5,000 tetapi dengan inovasi ini mereka boleh mendapatkan mesin pemintal keluli dengan harga serendah RM50 seunit," katanya yang mendapat idea merekacipta mesin ini kira-kira dua tahun lepas. Inovasi ini, selain ringan, menjimatkan masa, mudah dikendalikan dan mampu meningkatkan produktiviti tiga kali ganda berbanding hasil secara manual. Kemenangan ini justeru menjadi pemangkin semangat kepada Abdul Rahim dan anak muridnya untuk mencipta lebih banyak lagi inovasi. "Untuk AHIN tahun hadapan, pasukan dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi Batu Pahat akan mempertaruhkan inovasi putu bambu yang kini masih dalam proses kemaskini," jelas Abdul Rahim yang juga pernah memenangi pingat emas bagi inovasi mesin pembakar sate semasa Ekspo Teknologi Inovasi Desa Peringkat Kebangsaan pada tahun 2012. - BERNAMA Anugerah Harta Intelek negara 2016 (AHIN) Zon Sarawak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mengadakan pertandingan Anugerah Harta Intelek negara 2016 (AHIN) pada 16 dan 17 Mei 2016 untuk Zon Sarawak. Terdapat dua kategori iaitu kategori perekacipta muda harta intelek untuk sekolah dan kategori perekacipta harta intelek untuk institusi kemahiran dan vokasional. Bagi kategori institusi kemahiran dan vokasional,sebanyak 35 penyertaan yang telah menghantar penyertaan di peringkat saringan.Untuk finalis, terdapat 8 penyertaan yang telah dipilih dan 4 daripadanya adalah daripada Politeknik Kuching Sarawak. Setiap kumpulan dikehendaki untuk membuat pembentangan mengenai produk masing-masing di hadapan 4 panel juri professional mengikut tumpuan penilaian yang diberikan iaitu kreativiti, kualiti produk, aplikasi produk, faedah, nilai tambah produk dan pengiktirafan produk masing-masing. Selepas semua kumpulan membentangkan produk masing-masing, panel juri berkumpul dan berbincang untuk menentukan keputusan dan pemenang. Penyampaian hadiah dimulakan pada jam 3:00 petang, dimulai dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada tempat 4 hingga 8. Manakala untuk anugerah Gangsa (tempat ke-3) telah dimenangi oleh kumpulan dari PKS iaitu “Production of Tri-Colour Ink From Waste Cooking Oil and Plant Pigment Extraction”, dengan jumlah markah sebanyak 308 markah.Diikuti oleh anugerah Perak (tempat ke-2) dimenangi oleh kumpulan dari Insitut Latihan Perindustrian Miri dengan tajuk “POWAC (Power Air-Conditioning)” dengan jumlah markah sebanyak 309 markah. Manakala anugerah Emas (Tempat pertama) dimenangi oleh sebuah lagi kumpulan dari PKS iaitu “Use of Polyethylene (Mineral Bottle) in Bitumen” dengan jumlah markah sebanyak 323 markah. Penyertaan terbanyak yang terpilih untuk finalis dari PKS pada tahun ini memberikan banyak pengalaman berharga dan memberikan motivasi untuk lebih banyak penyertaan AHIN di tahun-tahun mendatang. Kerjasama pasukan,komitmen dan kerja keras sangat membantu bagi menghasilkan lebih banyak produk-produk yang boleh diketengahkan dan dipertandingkan di peringkat luar. Semoga pengalaman ini akan membantu pelajar untuk lebih kreatif,berani dan sentiasa meneroka cabaran baru disamping bersaing secara sihat dengan insitusi lain. Disediakan oleh: Munirah bt. Dawi Saifuddin |